Brek Kereta Berbunyi? Tanda-Tanda Brek Kereta Perlu Digantikan
Penjagaan dan penyelenggaraan brek kereta merupakan salah satu aspek penting semasa servis kereta yang perlu diberi perhatian. Keadaan brek kereta yang selamat boleh mengurangkan risiko kemalangan seperti terbabas atau terlanggar kenderaan lain. Carsome menyenaraikan sembilan (9) tanda brek kereta rosak untuk panduan dan rujukan anda:
1. Brek Pad Nipis
Brek pad kereta terletak di bahagian tayar depan – ia memberikan geseran yang berfungsi menghentikan dan memperlahankan kenderaan anda. Jika brek pad nipis, ia tidak boleh menjalankan fungsinya secara optimum. Anda boleh lakukan pemeriksaan visual untuk mengetahui status brek pad kereta anda. Brek pad boleh dilihat melalui celahan rim – jika ketebalannya kurang daripada ¼ atau kurang daripada 3 mm, anda disarankan untuk segera tukar brek pad kenderaan anda.
2. Lampu Amaran Brek Tangan Menyala
Lampu amaran brek tangan menyala pada dashboard menandakan potensi masalah pada sistem brek kereta anda. Biasanya, lampu amaran brek tangan menyala sekiranya brek tangan tidak dilepaskan dengan betul. Namun dalam sesetengah keadaan, ia turut menandakan minyak brek tidak berada pada paras yang disyorkan. Anda boleh merujuk manual pemilik anda untuk lebih kepastian.
3. Brek Kereta Berbunyi
Brek kereta dilengkapi dengan sekeping logam kecil yang dikenali sebagai indikator. Ia berfungsi menghasilkan bunyi sekiranya brek pad haus atau nipis. Ia akan bergesel dengan cakera brek atau brake discs, dan brek pad berbunyi nyaring terutamanya semasa menekan brek sebagai amaran kepada pemilik kenderaan bahawa brek pad haus dan perlu digantikan. Dalam sesetengah keadaan, bendasing seperti batu kecil atau karat pada brek pad juga boleh menyebabkan bunyi. Bawa kereta ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut.
4. Bau Terbakar, Kereta Bau Hangit
Brek pad yang terlalu panas boleh menyebabkan bau terbakar. Jika situasi ini berlaku kepada anda, segera berhenti di lokasi selamat dan biarkan brek kereta sejuk buat seketika. Segera periksa brek kereta anda – jika terdapat asap daripada tayar, ia mungkin menunjukkan kaliper brek rosak atau terkunci dan tidak berfungsi dengan baik. Sekiranya situasi sebegini berlaku, anda tidak disarankan untuk meneruskan perjalanan tanpa membaiki brek kereta anda terlebih dahulu.
5. Brek Terasa Lembut, Kenyal Ketika Ditekan
Jika anda berasa brek anda seperti span (lembut dan kenyal) ketika anda menekan brek, atau pedal brek anda terlalu ringan sehingga mencecah lantai kereta, ia menandakan:
-
- Brek pad haus dan perlu ditukar;
- Terdapat udara atau kebocoran dalam sistem brek kereta;
- Minyak brek bocor.
Jika terdapat udara pada brek pad, bleeding perlu dilakukan. Apa itu bleeding? Bleeding pada sistem brek merujuk pada proses flush keluar minyak brek lama secara total untuk digantikan dengan minyak brek baharu. Ia bertujuan untuk membuang gelembung udara yang mungkin telah memasuki sistem brek.
6. Minyak Brek Bocor
Segera periksa brek pad dan paras minyak brek – jika sudah habis atau berkurangan, ia mungkin menandakan kebocoran dalam sistem brek kereta anda. Apabila anda menekan brek kereta anda, minyak brek akan menghasilkan tekanan hidraulik pada kaliper brek. Jika kenderaan anda tidak mempunyai amaun minyak brek yang mencukupi, ia tidak dapat berhenti dengan selamat. Selain itu, pastikan minyak brek tidak terlalu kotor dan sentiasa diselenggara mengikut jadual. Periksa minyak brek dengan kerap dan segera bawa kereta anda ke bengkel jika anda mendapati paras minyak brek berkurangan atau bocor.
7. Stereng Kereta Bergegar Semasa Menekan Brek
Jika stereng atau kereta anda bergegar semasa anda menekan brek, besar kemungkinan ia berlaku disebabkan ketebalan rotor brek yang tidak sekata. Ia merupakan perkara yang biasa berlaku – permukaan rotor cenderung untuk haus dan tidak sekata setelah suatu tempoh penggunaan. Semasa anda membrek, bahan brek pad akan dipindahkan ke permukaan rotor. Jika ia berlaku secara tidak sekata, ia akan menyebabkan getaran semasa membrek.
Jika dibiarkan, bahan brek pad ini akan menghasilkan bintik-bintik yang tidak rata, sekali gus menyebabkan situasi bertambah buruk. Anda boleh meratakan permukaan rotor semasa servis brek untuk mengurangkan gegaran pada stereng semasa membrek. Namun sekiranya rotor sudah haus, anda disarankan untuk menggantikannya.
8. Kurang Cengkaman, Jarak Berhenti Bertambah
Brek pad yang sudah rosak atau haus tidak lagi dapat memberikan prestasi yang optimum – ia sekali gus menyebabkan anda tidak lagi dapat memperlahankan kenderaan dengan cepat semasa anda membrek. Cengkaman yang kurang ini juga mengakibatkan jarak berhenti bertambah. Jika anda mengesan tanda-tanda ini, segera lakukan pembaikan untuk memastikan keselamatan anda dan penumpang sentiasa berada dalam keadaan baik.
9. Kereta Lari ke Kiri atau Kanan Semasa Membrek
Selain itu, tanda-tanda lain yang biasa berlaku menandakan masalah brek ialah kenderaan lari atau senget ke kiri atau kanan semasa membrek. Sekiranya kereta lari atau senget semasa membrek, ia menandakan masalah pada salah satu daripada dua brek hadapan seperti rotor yang tidak sejajar atau isu aliran bendalir. Masalah ini sekali gus menyebabkan satu bahagian brek menerima tekanan yang lebih tinggi berbanding bahagian brek yang lain.
Biasanya, anda tidak mengesan tanda-tanda ini semasa pada kelajuan rendah – ia hanya jelas terasa semasa anda membrek dengan kuat pada kelajuan tinggi. Meskipun isu ini nampak seperti biasa, namun jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan kerosakan komponen brek dengan lebih cepat dan menyebabkan brek pad haus secara tidak sekata.